Saturday, December 10, 2011

~ Harga Sebuah Kehilangan ~


~ Harga Sebuah Kehilangan ~


Kehilangan adalah salah satu jalan kehidupan. Kita takkan merasa kehidupan tanpa merasa kehilangan. Ini adalah kata-kata dari seorang sahabat baik kepada saya di universiti suatu ketika dulu. Pada masa itu, saya tidak dapat menerima kebenaran kata-kata itu. Saya tidak dapat menerima hakikat yang kita manusia tidak dapat lari dari kehilangan dalam hidup. Ya, saya insan lemah dan naif. Kehilangan adalah sesuatu yang asing bagi diri saya. Saya tidak mampu untuk menanggung sakitnya kehilangan ketika itu. Saya belum cukup matang untuk mengharungi dugaan hidup....

 
************

Tapi, itu dulu. Itu sebelum saya mempelajari makna sebenar kehidupan. Itu sebelum saya merasa pahit manis kehidupan. Saya belum cukup ilmu dan pengalaman untuk menjadi lebih matang. Kini, saya tidak lagi lemah. Saya tidak lagi naif. Saya mengerti akan pentingnya kehilangan dalam kehidupan. Saya mengerti akan kepentingan rasa kehilangan dalam mematangkan akal fikiran. Saya mengerti akan pentingnya pengalaman kehilangan  dalam mengharungi cabaran hidup yang pelbagai. Ya, kita perlu merasa kehilangan untuk merasa kebahagiaan. Tanpa kehilangan, kita tidak akan merasa kebahagiaan yang sebenar. Tanpa kehilangan, kita tidak akan merasa nikmat hidup yang sempurna...

************
Baru-baru ini, saya telah merasa dua kehilangan. Tapi kehilangan yang kedua membuatkan saya benar-benar terpaku. Kelu. Perginya dia dari hidup saya, selama-lamanya. Ini bermakna, saya telah kehilangan satu-satunya lelaki yang sanggup berkorban nyawa dan segala-galanya untuk saya. Sampai mati pun, saya tidak akan dapat mencari lelaki seperti dia. Siapa saya pada hari ini, di mana kedudukan saya pada hari ini - adalah disebabkan dia. Kalau diberi seluruh isi dunia kepadanya, pun masih lagi tidak terbalas dengan apa yang telah diberikannya kepada saya. Saya merasa sungguh bertuah memiliki dia. Sungguh! Saya benar-benar bertuah. Tidak ada satu lelaki pun yang dapat menandingi kedudukan dia di hati saya....Ya, tidak ada...

**************
                      Kubayangkan butir air mata memenuhi pelupuk matamu
saat kau membacakan baris-baris kasih sayang
kepada buah hatimu
Kusapa, ada beberapa butir air mata menggantung di sukmaku
hendak menyeruak ke dunia menemani keharuanmu
Tak ada yang dapat kuucapkan hari ini
seperti hari kelmarin, aku hanya bisa membisu
cuba ku tulis beberapa kata ungkapan kehormatan
kepadamu yang kini duduk menyaksikan ilham Allah
merasuki tulang-tulang tuamu.
Aku merenung menggores bayangan butiran air matamu
yang terdorong keluar oleh kebahagiaan
aku berusaha menutupi jalan untuk air mataku
yang tak sanggup menahan keharuan
menuntut jalan keluar,
mungkin hendak berteman dengan air matamu

Thursday, April 21, 2011

~ A Decision That Changed My Life ~


~ A Decision That Changed My Life ~

Syukran buat sahabat yang mengingati...(^_^)

Esok, bersamaan 22 April 2011, usia saya sudah mencecah ke angka-27. Saya hampir-hampir tidak sedar. Masa begitu cepat berlalu. Semoga saya akan terus menerus bersemangat untuk memiliki kearifan. Kerana sangat banyak orang menjadi tua disebabkan bertambahnya usia, tetapi tidak semakin dewasa.Ya, kita tidak akan dapat menahan laju pertambahan umur kita...kerana UMUR adalah milik Allah. Namun yang harus kita lakukan adalah menahan akhlaq kita, agar jangan sampai turun ke darjat yang lebih rendah. Justeru, kita harus menggantikannya dengan kualiti peribadi yang semakin mulia. Di sini, saya juga mengharap yang sama...  

**********

Sepanjang hidup, banyak perkara yang telah saya lalui. Dari kecil, sampai tiba ke alam persekolahan, hinggalah ke alam universiti seterusnya melangkah ke alam kerjaya. Selama 6 tahun bergelar pelajar jurusan undang-undang, menjadikan saya berfikir panjang sama ada ingin menjadi seorang peguam atau sebaliknya. Ya saya tahu, Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk diri saya. Akhirnya, jadilah saya seperti hari ini, di sini, pada saat ini. Saya tegar memilih untuk menjadi guru biasa, dari menjadi seorang peguam yang popular, seperti kawan-kawan yang lain rasakan pada ketika ini. Entah mengapa kerjaya peguam itu, saya rasakan amatlah tidak sesuai dengan jiwa saya. Saya begitu gembira dengan hidup saya sekarang. Justeru, tidaklah saya menyesal dengan keputusan yang telah dibuat...kerana saya benar yakin, yang saya tidak silap membuat pilihan....insyaAllah..;)

**********


Semua alam sudah saya tempuh. Cuma alam rumah tangga sahaja belum lagi saya rasakan. Entahlah... saya pun tidak tahu bilakah masanya. Apa yang mampu saya lakukan ialah..berdoa, serta cuba menjadi yang terbaik...untuk mendapat yang ter`baik` juga..insyaAllah...(^_^)

 
Ya ALLAH, jadikan aku wanita yang solehah...yang baik di antara yang terbaik...dan kurniakan aku pendamping yang baik...
dalam  mendapatkan sesuatu yang terbaik dariMu...
Amin...

Tuesday, April 5, 2011

~ Memetik Hikmah di balik Payah..~

~ Memetik Hikmah di Balik Payah~


"Berpenat lelahlah kerana sesungguhnya kesenangan itu selepas kepayahan...jangan berdukacita kerana hidup ini meletihkan,sebab demikianlah hidup itu diciptakan," 

~Imam Syafie~

Dedikasi ini khas untuk saya, setiap kali saya merasakan hampir-hampir putus asa. Bilamana mempunyai perasaan seperti itu, saya akan cuba segera mengingatkan diri saya, merintis jalan pulang menuju Dia yang satu. Ya saya mengerti bahawa jalan itu tidak pernah ada pintu yang menutupnya apatah lagi tembok yang menghadang insan menakluknya. Lantaran rahmat kasih sayang pencipta itu tak tergambar luasnya,  melebihi pedih azab siksaNya. Berjalan dan terus berjalan. Jangan diimbau  lagi kisah luka itu. Hanya menjeruk hati, menggores luka, mematikan niat murni sekeping hati yang tulus.Berbahagialah andai ada yang menduga di sepanjang perjalanan itu. Kerana itu sebenar-benar jalan yang dilorongkan Allah buat hambaNya yang ikhlas mencari. Ada hikmah dalam musibah.Telan kepahitan itu, demi manisnya kenikmatan jannah.


**********


" Dan apabila hamba-hambaKu yang bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah)-Ku dan beriman kepadaKu, agar mereka memperoleh kebenaran"

(Al-Baqarah: 186)

Genggam erat-erat ayat cinta itu dalam hati kamu, maka kamu akan tahu Allah ada dalam tiap denyut nadimu. Allah mendengar bila kamu merintih, Allah yang membangunkan bila kamu tersungkur jatuh. Hari-hari yang kita lalui tak menjanjikan warna pelangi indah dan ceria. Adakalanya suram.Hanya senyum pudar yang mampu terukir pada bibir. Namun, percayalah...Pada duri yang ada di kiri dan kanan jalanan, pasti ada hikmah yang ingin Allah titipkan.Tidak sia-sia aturanNya walau sesekali jiwa terasa berat untuk menerima apatah lagi akur pada takdir itu.....


***********


Ketika orang lain bergantung pada dunia, gantunglah dirimu hanya pada Allah.
Ketika orang lain merasa gembira dengan dunia, jadilah dirimu gembira kerana Allah.
Ketika orang lain merasa bahagia kerana kekasih mereka, jadilah dirimu merasa bahagia dengan Allah,


“Truly in the heart there is a sadness that cannot be removed except with the happiness of knowing Allah SWT and being true to Him and in it there is an emptiness that can not be filled except with love for Him and by turning to Him and always remembering Him. And if a person were given all of the world and what is in it, it would not fill this emptiness.”
 
- Ibn Al-Qayyim

Saturday, March 19, 2011

~ Segenggam Tabah ~

~ Segenggam Tabah..~



Telah tertulis suratan nasibmu. Derita buatmu ada hikmahnya. Terlukis senyum di bibir lesu. Tak siapa tahu hatimu. Biarpun keruh air di hulu. Mungkinkah jernih di muara. Biarpun jenuh hidup dipalu. Pasti bertemu tenangnya....
~segenggam tabah~

Saturday, March 5, 2011

~ Kala Hujan Turun Lebat ~

~ Kala Hujan Turun Lebat ~


Hari ini, hujan menemani saya pulang. Kami berjalan beriringan, berbagi cerita dalam diam, bertukar tanya dalam heningnya resah hati. Saya merasakan payung kecil saya bergerak ditiup angin bercampur gerimis. Ketika ini, saya tidak mahu menduakan sang hujan. Hujan terus-terusan menggelitik lengan saya dengan basahnya, seolah menggoda dengan gurauan, berusaha menutup pilu yang semakin membasahi hati.Saya bertanya kepada hujan ," Oh hujan, perlukah kita mempercayai orang yang kita sayang? " Hujan ketawa terkekeh-kekeh. Seakan saya membuat jenaka. Lalu hujan menjawab : " Lebih dari itu....." Kaki saya terhenti mendengar jawapan hujan sebentar tadi. Tiba-tiba saya kehilangan kata-kata....


**********

Malam ini saya telah membuatkan hati seseorang luka. Ya saya tahu hatinya luka. Mungkin. Entahlah. Saya tahu semuanya salah saya. Semuanya. Maafkan saya. Bukan niat saya untuk melafazkan begitu. Tapi mungkin pengalaman lalu membuatkan saya menjadi begitu pesimis. Tidak begitu yakin. Pengalaman luka itu mungkin menjadikan saya begitu. Saya tidak tahu bagaimana untuk menerangkan kepadanya. Tentang apa yang pernah saya rasa. Mungkin tidak perlu. Mungkin juga. Tiba-tiba saja mata saya terasa hangat....pedih sampai ke hati.....

**********
 
Saya sering diuji dengan apa yang saya ucapkan. Mungkin Allah ingin mendidik saya agar selalu berhati-hati dalam menuturkan kata. Biarlah. Moga-moga saya akan lebih terdidik dengan ujian yang menimpa. Cuma saya terus berharap dan berdoa...supaya saya tidak akan mengalah walaupun seringkali kalah!  Adakalanya saya kelelahan dengan ujian yang bertali arus. Biarlah saya menuai iktibar...dalam percubaan untuk menjadi insan yang seadanya sahaja dalam menghulur tangan setulus mungkin. Semoga saya diberikan keteguhan hati. Datanglah apa sahaja...akan saya hadapi sebagai hambaNya....Ketidakpastian kadang-kadang mengajar saya tentang kejituan hati. Lalu saya berusaha mencari hati itu, kerana saya yakin, hati yang remuk redam kerana diuji Allah itu boleh saya temui di mana-mana sahaja.




"Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Luh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.." (Surah Al-Hadid: 22-23)

Tuesday, February 22, 2011

~ Pada Sebuah Nama ~

~ Pada Sebuah Nama ~



Ku lihat  liangan air dari atas yang menitis. Semakin dingin kurasakan dan semakin membekukan ucapku. Semua yang kurasakan terasa terkukung dalam bisu. Kupejamkan mataku dan fikiranku mulai berlari-lari melewati waktu. Mengaduk-ngaduk perasaanku. Kebencian, amarah, kepedihan, membaur dan menelan semua diriku yang bijak. Diriku yang selalu mampu berdiri meski di atas batangan duri kesedihan. 

Kumenemukannya lagi, diriku yang selama ini kusembunyikan dalam ketegaran dan ketidak pedulian. Diriku yang tertutup kerana lemah dan tidak berdaya. Rasanya ingin kutelan semua kebodohan yang ada di bumi. Ingin sekali kumenjelma menjadi manusia kejam yang memusnahkan kebahagiaan di muka bumi dan tertawa sekencang mungkin kerana puas melakukannya. Hentakan bunyi yang terdengar tak akan membuatku diam. Menulikan telinga dengan beragam suara. Jangan salahkan aku yang terlahir di bumi ini..Jangan dekati aku, atau kamu akan terluka. Hatiku berteriak…

  **********

Namun saat kubuka mataku, kulihat sebuah nama yang ternyata menyurutkan semua keresahanku, membawaku menepi dari pengaruh hitam yang kutebarkan sendiri. Menggenggam hatiku dan mendinginkannya. Menyurutkan kemarahanku dan membawaku terbang kehamparan ladang hijau yang dipenuhi beraneka ragam bunga. Memang hatiku tidak sepenuhnya dingin, tapi cahaya itu semakin besar…. Sehinggakan mengalahkan keangkuhan dan gelapnya fikiranku.... 

Aku mulai diam dan berfikir. Kemudian aku yakini. Ya, aku yakin itu. Kerana nama itulah yang memberiku kehidupan. Memberiku ruang untuk bermimpi dan berjalan dalam waktu yang aku sendiri tidak tahu bilakah akan berakhir. Aku yakin segala kesedihan, kegundahan, dan amarah itu adalah refleksi sebuah rindu  dariku padaNya. Kerana aku telalu kerdil dalam dunia yang terlampau besar. Diriku yang terlalu khilaf pada segala  yang nyata dan sempurna. Bahawa waktu yang telah kulewati itu sempurna, meskipun banyak hal yang aku sesali kerana kelalaianku. Bahawa kisah hidupku itu teramat sempurna, kerana telah diatur sedemikian rupa tanpa cela.

 **********

Memang aku terlalu angkuh untuk mengerti dan menerima. Padahal aku faham dan seharusnya menerima. Mungkin inilah kesempurnaan yang Dia cuba jelaskan padaku. Bahawa ketidaksempurnaan yang aku fikirkan sebenarnya melengkapi diriku. Bahawa ketidaksempurnaan yang aku fahami sebenarnya adalah kesempurnaan sebuah penciptaan. Sehingga aku sedar bahawa aku terlalu kecil untuk mengaku sebagai penguasa, bahkan untuk menguasai diriku, menguasai nasibku dan menciptakan segala yang kuinginkan.
Terlalu banyak nikmat yang tidak terhitung, menyakiti kearifan yang Dia ciptakan pada sebahagian diriku yang lain. Sehingga banyak rasa syukur yang terkikis dan terlupakan.

Saturday, February 19, 2011

~ Bunga dalam Genggaman ~

~ Bunga dalam Genggaman ~



Cahaya kilauan menerobos celah kosong di tepi-tepi kerumunan awan putih. Di bawahnya, warna-warni alam bersatu dalam sebuah kelompok. Tertata rapi. Ya... semuanya telah diciptakan Tuhan, namun dikembangkan secara spesifik oleh kita. Saya sampai pada sebuah padang. Nyaman. Bertaburan dengan indahnya kembang-kembang ciptaan-Nya...Ya. Sebuah padang bunga. Hidup berbagai jenis bunga yang berkembang yang indah. Udara pagi pada hari ini masih segar dan belum tercemar. Temui udara seperti ini dalam padang bunga ini.....yang telah langka dalam sebuah kota. Hiruplah dalam-dalam, sejuk dan segar suasana di padang ini..Hatimu tenang, bukan?

**********

Saya mencabut serangkai bunga putih itu dengan perlahan, takut bila sampai-sampai bunga ini layu. Setibanya di rumah, saya terus bertanya kepada sahabat saya. Saya keluarkan bunga yang menjadi tanda tanya di fikiran saya..

  -    " Ini. Ini bunga apa ? Warna putihnya amat menarik perhatianku."
 +     " Hm...."Putih ini...kalau tidak salah, ini bunga Edelweiss. Kau mendapatkannya dari mana?"
   -   " Oh! Tadi ku ambil di taman di sebuah bukit dekat-dekat sini. "
  +   " Kau tahu bunga ini seperti apa?"
    -  " Tidak tahu. Makanya aku bertanya.
   +   " Kau tahu? Bunga Edelweiss termasuk bunga yang langka. Hanya hidup di pergunungan tinggi saja.    
          Beruntung kau boleh mendapatkannya," sahabat saya memperhatikan lagi bunga di genggaman  saya itu. " Bunga ini sangat unik. Bunga yang sama sekali tidak boleh menyentuh air."
  -   " Eh? Kenapa tak boleh? Bila suatu bunga ingin subur, maka harus diberi air!"
    +    " Namun bunga ini lain. Bila diberi air, maka bunga ini akan layu dan rosak."Kau tahu? Bunga ini akan 
           tetap abadi selama tak menyentuh air.
  -    " Abadi? Sampai bila pun?
+      " Ya. Akan tetap abadi. Maka, kau tahu erti bunga ini?" sahabat saya tiba-tiba bertanya.



Saya hanya mampu menggeleng. "Kau beruntung boleh menemukannya," sahabat saya mengulangi sekali lagi. Seakan saya dapat menangkap maksudnya....Beruntungkah saya bila menemui sesuatu yang jarang ditemui oleh orang lain? Bila sesuatu itu telah berada dalam genggaman..adakah ianya akan terus kekal kemas berada dalam genggaman saya juga sampai bila-bila? Saya pernah melalui pengalaman pedih itu .Ya. Pernah. Bunga itu amat kemas berada dalam genggaman saya. Saya ingat ianya akan terus kekal begitu sampai bila-bila..Namun ternyata saya diuji. Bila sesuatu itu telah berada dalam genggaman, pernahkah kita terfikir satu masa nanti, ianya akan hilang dan kita akan tenggelam dalam kesedihan?


**********

Tiada duka yang abadi di dunia
Tiada sepi merantaimu selamanya
Malam kan berakhir, hari kan berganti
Takdir hidup kan dijalani
Tangis dan tawa nyanyian yang mengiring
Hati yang rindukan cinta dijalan-Mu
Namun ku percaya hati meyakini
Semua akan indah pada akhirnya....

                             
                              ~ Opick ~



Friday, January 28, 2011

~ Yang Maha Cinta ~

~ Yang Maha CINTA ~


" If you have a husband who is your best friend, who works hard for you, who has been with you through thick and thin, who loves you unconditionally even when you're at your worst, and whom you are PROUD to be married to, please copy and paste this on your wall..." 

Kata-kata di atas saya dapati pada wall sahabat saya di facebook. Saya copy kata-kata ini. Tetapi tidaklah saya paste di wall saya. Kerana saya masih tidak mempunyai suami. Kerana saya juga belum merasakan bagaimana bahagianya mempunyai suami sebagaimana yang sahabat saya rasakan sekarang. Saya yakin, dalam diri setiap wanita, pasti menginginkan suami yang soleh, beriman, penuh kasih sayang, sentiasa bersama susah dan senang, seseorang yang boleh menjadi sahabat terbaik pada setiap saat...alangkah indahnya memiliki suami yang seperti ini! Namun saya kekal sedar. Saya tidaklah sehebat Fatimah..mendambakan suami sehebat Ali...Kadang-kadang saya tertanya-tanya juga..bilakah saya akan bertemu dengannya? Adakah dia juga seperti saya? Sentiasa tertunggu-tunggu kehadirannya?.....

*********


Semua sibuk mencari. Mudahkah untuk mendapatnya? Semua sibuk mencari. Jika jumpa, mudahkah untuk mengekalkannya? Kita mahu mencari pasangan hidup yang soleh, dan kita menemuinya di dalam suasana semua lelaki nampak sempurna. Semasa bercinta, semuanya akan nampak indah dan sempurna belaka. Namun selepas berkahwin, siapa sangka yang sempurna itu menjadi sebaliknya? Jika bahagia dan sempurnanya rumahtangga ialah pada apa yang suami buat atau apa yang isteri buat, kita akan hidup dan mati dalam pencarian. Pencarian yang tidak berkesudahan. 

Takdir Allah akan tetap berjalan walau apapun, dan redha dituntut atas apa yg Allah kurniakan. Tetapi saya lebih gembira jika kita dapat mempraktikkan dulu piawai yg di saran oleh agama – ikhtiar untuk istiqamah (kekal) memperbaiki diri & ketaatan kpd Allah dan cuba mendampingi (jodoh, teman, sahabat) yang mempunyai matlamat yg sama. 

Yang soleh atau solehah itu juga TIDAK akan pernah sempurna, akan tetapi tanda-tanda orang yang jujur dan taat pada Allah itu ketara. Adakah Allah akan mensia-siakan hamba-Nya yang sentiasa memperbaiki amalan & pilihannya? Kita bukan ingin menjadi masyarakat malaikat, tetapi masyarakat manusia yang hidup di bumi tetapi bertunjangkan petunjuk dari langit. Ini adalah ikhtiar dan usaha kita, apa-apa pun yang dikurniakan atau tidak oleh Allah, akan & pasti berlaku hanya dgn izin Allah jua.Berusaha, berdoa, bertawakkal. Selebihnya adalah urusan Ilahi.

Allah Maha Mengetahui & Maha Mengasihani serta janji-Nya pasti...


**********

" Seseorang yang hatinya mati dan jauh dari hidayah kerana ingkar kepada Allah, tidak mempunyai sebab untuk mencintai orang-orang yang mencintai Allah...."

Serahkan cintamu sepenuhnya kepada yang Maha Cinta....






Wednesday, January 19, 2011

~ Luka Seribu Hari..~

~ Luka Seribu Hari ~


Mengapa bila hati kita luka, kita akan rasa sedih? Bukankah luka itu batiniah sifatnya? Kadangkala, dengan menyerah kepada takdir, dengan melepaskan semuanya membuatkan saya rasa ringan, tetapi segalanya rasa seperti kehilangan erti juga. Melupuskan beban besar yang sebelumnya saya pikul di bahu membuatkan saya rasa seperti kosong. Saya merasakan Dia ingin menempa diri saya, untuk merasa bagaimana sakitnya hati saat kehilangan sesuatu, bagaimana senangnya saya saat merasa saya menemukan penawar, dan bagaimana saya merasakan betapa indahnya harapan setelah derita. Semua itu telah saya rasakan. Hanya ada satu hal yang tertinggal, dan itu terlambat untuk saya sedari. Saya belum merasakan bagaimana rasa pasrah yang seharusnya.

Hmmm, saya telah banyak merasakan kehilangan. Namun ada dua kehilangan yang saya soroti. Saya pernah kehilangan yang pertama. Saat itu, saya merasa dunia saya kelabu. Luka. Itu salah satu masa terkelam yang saya punya, tetapi Alhamdulillah...saya berhasil melewatinya. Saat itu, saya menyedari betapa indah dan pentingnya HARAPAN.

Kehilangan yang kedua. Kali ini berbeza. Saya mendapatkannya dengan tidak sengaja. Saya bahagia mendapatkannya...Saya tidak pernah sebahagia itu..Namun, sampai suatu saat, saya melakukan kesalahan. Keadaan menjadi buruk dan keadaanlah yang memaksa saya untuk kehilangannya. Semuanya berlangsung cepat dan tiba-tiba. Dalam kehilangan yang kedua ini, saya patah hati. Benar-benar patah hati. Namun hati saya patah bukan kerana saya kehilangannya, tetapi kerana saya menangisi diri saya sendiri kerana tidak menyedari sesuatu yang sama sekali tidak saya pelajari di kehilangan saya yang pertama. REDHA. Hanya itu sahaja yang mampu saya lakukan. Di mulut. Sampaikah redha itu di hati?



 **********

“Ku membiarkan hatiku untuk merindui-Mu, Ku menghamparkan sakitku untuk tatapan-Mu, Bersama-Mu harapanku, Hilang dalam terang yang membutakanku, Aku lemah tanpa-Mu, Ku ingin-Mu dampingi ku, Aku fahami aku bukan terbaik untuk diri-Mu, Aku menunggu cinta dari-Mu, Agar ku sempurna, Dan mungkin hari yang satu, Terus ku tertunggu, Hanya satu…”

~Ketahui bahawa hati itu hanya mempunyai satu wajah, apabila kamu hadapkan cahaya kepadanya maka ia akan bersinar, dan apabila kamu hadapkan kegelapan kepadanya maka ia akan terus bergelap lalu tertutup..~


**********

 
"My heart is so small
it’s almost invisible.
How can You place
such big sorrows in it?
“Look,” He answered,
…”Your eyes are even smaller,
yet they behold the world.”
Jalaluddin al-Rumi [from 'Whispers of the Beloved']



Tuesday, January 18, 2011

~ Takdir Mengatasi Tadbir...~

Takdir mengatasi tadbir....

Takdir sentiasa mengatasi tadbir. Takdir daripada Allah, sedangkan tadbir hanya dari kita hamba-Nya. Kekadang takdir dan tadbir selari, maka terjadilah apa yang kita inginkan terjadi. Namun acapkali takdir dan tadbir bersalahan, maka terjadilah apa yang kita tidak inginkan.Kita ingin putih, hitam pula yang menjelma. Kita dambakan kejayaan, kegagalan pula yang menimpa. Ketika itu hati akan bertanya, apa lagi yang tidak kena? Semuanya telah ku tadbirkan, tetapi kenapa gagal jua? Ketika itu timbullah bunga-bunga 'pemberontakan' dari dalam diri hamba yang kerdil berdepan dengan Tuhan yang Perkasa. Samada disedari atau tanpa disedari...

Takdir daripada Allah mengandungi banyak hikmah. Ia mengandungi mehnah (didikan langsung dari Allah) yang kekadang tersembunyi daripada pengamatan fikiran biasa.Ilmu semata-mata tanpa iman yang kuat, akan menyebabkan kita terkapai-kapai dalam ujian hidup tanpa pedoman yang tepat. Justeru dengan akal semata-mata kita tidak akan dapat meringankan perasaan pada perkara-perkara yang tidak sejalan dengan diri dan kehendak kita. Mengapa terjadi begini? Sedangkan aku telah berusaha?

 *********

Perkara seperti ini sudah terbiasa dengan kehidupan saya..Saya sendiri kadang-kadang tertanya-tanya apa sebenarnya hikmah yang tersembunyi di sebalik ujian yang saya hadapi...Tapi memang ternyata benar... setiap yang Allah tetapkan itu adalah yang paling terbaik bagi diri...Selalu saya cuba pujuk hati saya...cuba untuk tidak bersedih atas apa yang menimpa...Apakan daya...saya seorang manusia!
Namun saya percaya..hikmah itu tetap ada...lambat atau cepat...ia tetap akan muncul...Cuma sedikit kesabaran diperlukan untuk menanti kemunculannya...

**********

Saidina Umar r.a. pernah bertanya kepada seorang sahabat yang lain bernama Ubai bin Ka'ab r.a. akan makna taqwa. Lalu Ubai bertanya kepada Umar : "Adakah engkau pernah melalui satu jalan yang berduri? Jawab Umar: "Ya". Tanya Ubai lagi: "Apakah yang kamu lakukan untuk melalui jalan tersebut?".
Jawab Umar : "Aku melangkah dengan waspada dan berhati-hati". Balas Ubai : "Itulah yang dikatakan taqwa".

Monday, January 17, 2011

~ Warna-Warni Kehidupan Akan Datang ~

~ Warna-Warni Kehidupan Akan Datang ~


Hari ini merupakan hari pertama saya sebagai guru pelatih. Mula diperkenalkan di perhimpunan dengan panggilan " TEACHER". Namun saya hairan. Sewaktu menunggu masa saya di luar pintu..dua orang murid lalu dengan memberi salam kepada saya " Assalamualaikum USTAZAH" terasa seperti ingin tergelak...ermm macam ustazah kah appearance saya ? Bila saya ceritakan kepada rakan guru pelatih yang lain yang memang "ustaz"...semua gelak besar kepada saya. dan mengatakan " MEMANG PUN!"..ya, memang saya cukup sinonim dengan panggilan itu sebelum ini. Tapi..xpelah..mungkin kot...ada muka ustazah..haha

Alhamdulillah...hari pertama even agak kekok dan tersesat pagi tadi...saya berjaya juga sampai ke sekolah tepat pada masanya. Tapi ada sedikit risau di hati saya tiba-tiba. Bolehkan saya mengajar ni? Kelas Tahun 3 Cempaka. Bolehkah mereka bekerjasama dengan saya ? Bagaimana hari-hari yang seterusnya? Dapatkah saya menawan hati mereka ??

Kali pertama masuk ke kelas, saya sudah terbayang warna-warni kehidupan saya yang akan datang. Semoga Allah permudahkan segalanya...Semoga saya dan rakan-rakan akan lulus praktikum ini. InsyaAllah..Namun saya amat benar berharap agar masa cepat-cepat berlalu dan kesusahan ini akan berakhir..! (^_^)

Saturday, January 15, 2011

~ Masa Mengubat Segalanya ~

~ Masa Mengubat Segalanya...~


Pernahkah kita memahami alam? Mengapa Tuhan hadirkan pelangi selepas hujan? Mengapa Tuhan tumbuhkan bunga selepas kering-kontang? Hanya daripada benih hitam yang kusam, apabila disirami hujan lantas berbunga cantik. Maka tersenyumlah alam. Betapa indahnya aturan Tuhan. Mengapa tidak ada hujan berpanjangan atau sinar mentari yang menyinari alam? Mengapa harus ada putaran alam seperti hitam malam dihiasi bintang? Mengapa untuk tidak ada sekaligus dalam satu masa? Mengapa harus hilang sesuatu untuk sesuatu?
  *******

Baru-baru ini, seorang sahabat dengan tiba-tiba bertanya kepada saya. Macam mana kita hendak melupakan seseorang? Saya terdiam seketika mendengar soalannya....
Kenapa mesti kita melupakan seseorang itu? Bagi sesetengah orang, selagi kenangan  atau ingatan terhadap seseorang yang telah mengecewakan atau menyakiti hati mereka sama ada secara langsung ataupun tidak, akan menyebabkan mereka bersedih. Justeru, seperti duri yang tertanam di dalam daging, duri itu mesti dicabut. Ingatan tersebut mesti dibuang jauh-jauh. Dapatkah kita menghilangkan kenangan?

Lantas saya menjawab : Kita tidak mungkin dapat melupakan seseorang yang hadir dalam hidup kita sampai bila-bila. Namun masa akan mengubat segalanya. Sedikit demi sedikit. Tetapi percayalah...sesekali bayangannya akan hadir juga. Jika kita tidak mampu melupakannya, tidak usahlah melupakannya. Mengenang kebaikan seseorang atas nama ALLAH adalah jauh lebih baik berbanding membenci seseorang atas kejahatannya walaupun atas nama ALLAH.
Bersabarlah duhai sahabat. Usahlah dikau bersedih atas hilangnya sesuatu itu. Yakin dan percayalah bahawa Allah pasti akan menggantikannya dengan yang lebih baik....Dengan izin-Nya....(^_^)

*******
"Alangkah beruntungnya orang mukmin itu, kerana semua urusan yang menimpanya adalah baik baginya. Sekiranya mendapat kebaikan, lalu ia bersyukur, maka itu adalah baik baginya; dan sekiranya ditimpa musibah, lalu ia bersabar, maka itu juga adalah baik baginya.” 
                                                                                                                            
                                                                                                                     ( Riwayat Muslim)

People Will Forget What U Said
People Will Forget What U Did
But People Will Never Forget How U Made Them Feel


Wednesday, January 12, 2011

~ Sabarlah duhai hati !!! ~


Entah mengapa hari ini emosi saya agak terganggu sedikit... hehe ntahla kadang -kadang saya rasa biarlah masa ini cepat-cepat berlalu...biar saya cepat-cepat posting..kadang-kadang saya rasa saya begitu menyusahkan dua orang penting dalam hidup saya...kadang-kadang saya rasa cepat-cepatlah saya tinggalkan maktab tu..hehe pemalas betul la saya ni..apa nak jadi ni? Terpaksalah saya pujuk semula hati saya...oh hati!
engkau tolonglah bersabar untuk sekejap waktu saja lagi..sekejap saja lagi...ya ALLAH....

Monday, January 10, 2011

~ IIUM get 2 KNOW ~

 
Taman Budi dan Ilmu. Rindu rasanya pada tempat ini. Berbagai suka duka, jatuh bangun saya di sini. Bersama- sama teman seperjuangan mengejar cita. Pahit manis perjuangan masih lagi terasa. Hanya Allah saja yang tahu betapa kesusahan itu banyak mengajar diri akan rasa nikmatnya bersabar. Redha dengan apa yang telah Allah tetapkan kerana diri ini selalu diingatkan bahawa apa yang Allah telah aturkan adalah yang paling TERBAIK bagi diri. SYUKUR..ALHAMDULILLAH..

~ Versatility of a Law Degree ~

 
Sewaktu mula-mula menjadi pelajar undang - undang, saya dan kawan-kawan sering ditanya tentang cita-cita kami pada masa hadapan. Sudah tentu saya ingin menjadi guru!!! Tapi bila mendengar kawan-kawan yang lain semuanya bercita-cita menjadi peguam..so saya ikut jelahhh..hehe nk jadi peguam. ok . settle . Tapi suatu hari, ntah macam mana bila sorang lecturer ni bertanya..tiba-tiba mulut saya ni terus cakap : I want 2 be a teacher, Sir. Sir pun terus tnye : what??? u want 2 b a teacher?? yyy??? Sy jawab : I think i`m not tough enough to be a lawyer. Then he replied : Do u think that u r tough enough 2 b a teacher? Masa tu saya hanya mampu tersenyum mendengar penangan kata2 Sir tadi. Namun, sekarang ni..saya rasa saya sudah ada jawapan untuk statement Sir tadi...........

~ Mengapa Allah memilih kamu menjadi guru?? kerana Allah pasti yakin yang kamu ini boleh mendidik...~

Thursday, January 6, 2011

~ I cried so much watching this ~

 
 Tanpa dua orang ini, saya bukanlah siapa-siapa, seperti saya pada hari ini. Segala kemahuan saya tidak pernah ditolak. Dari kecil hinggalah hari ini, saya ditatang bagai minyak yang penuh..dijaga hingga sedikit pun tidak pernah terlimpah! Saya masih ingat lagi, sewaktu saya berumur 6 tahun, setiap kali menonton TV, saya akan menontonnya sambil tidur di riba abah. Kesian abah..lenguh menahan kepala saya. Jahat kan saya ni..sampailah saya terlelap sendiri..saya dapat rasa abah akan mengangkat saya ke bilik..walaupun ketika itu saya sedar..saya pura-pura tidak sedar..huhu jahat kan saya ! Selalu menyusahkan..Erm..Mak pula agak tegas dengan saya. Saya rasa dia tahu mungkin sebab abah terlalu manjakan saya. Jadi dia tidak mahu saya terus-terusan dimanjakan. Tapi saya tahu, dalam hati mak..dia sangat-sangat sayangkan saya. Macam mana saya boleh tahu...??? sebab abang saya selalu cakap macam ni ~ Mak ni, sikit-sikit Meza, sikit-sikit Meza..~ Dia jeles tu..huhu..Apapun, saya sangat-sangat bersyukur memiliki dua orang ini. Saya berdoa supaya Allah panjangkan umur mereka agar saya sempat membalas jasa mereka berdua. Insyaallah..Semoga kita semua menjadi anak-anak yang selalu berbuat baik kepada kedua ibu bapa kita..Insyaallah!

~ Even if they’re not the best and perfect parents, we still need to respect them at all times and try to show our love despite their imperfections....~

~ Sabda Rasulullah saw : “Sesiapa yang membuat ibu bapanya gembira (memberi keredhaan) maka sesungguhnya ia mendapat keredhaan Allah swt. Sesiapa yang menyakiti hati ibu bapanya, maka sesungguhnya ia mendapat kebencian Allah swt” ~

(HR Bukhari)

~ KSSR ~

KSSR

The Standard Curriculum for Primary Schools (KSSR) will be introduced this year, starting with Year One pupils.It will be more holistic and less examination-oriented for pupils.The KSSR will replace the existing primary school integrated curriculum (KBSR), which was first introduced in 1983, and subsequently reviewed in 2003.
Changes have been made in areas related to curriculum, assessment, teacher training, monitoring as well as teaching and learning approaches.This means the curriculum is pupil-centred with an emphasis on fun learning, critical and creative thinking, reasoning skills, communication and ICT literacy.

~ Selamat Kembali ke IPIS ~

iskh..pejam celik pejam celik sekejap je rasanya cuti....esok akan kembali ke maktab semula. Terasa baru semalam dijemput masuk ke IPIS, pendaftaran, diikuti dengan orientasi, belajar, perkhemahan, tiba-tiba sudah berada di sem kedua. Ermm..Adakah masa itu terlalu pantas berlari atau saya yang terlalu lambat untuk mengejar?? Praktikum menanti. Tunggulah murid-murid SK Serdang akan ketibaan gurumu yang ntah hape-hape ini. Tapi jauh disudut hati..amatlah tidak sabar-sabar untuk bertemu !!! (^_^)

Semoga Allah permudahkan segalanya...insyaAllah..

~ The Best song EVER...~

Saturday, January 1, 2011

~ Biodata Rasulullah SAW ~

BIODATA RASULULLAH SAW

Nama: Muhammad bin ‘Abdullah bin ‘Abdul Muttalib bin Hashim
Tarikh lahir: Subuh Isnin, 12 Rabiulawal / 20 April 571M (dikenali sebagai tahun gajah; sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah yang menyerang kota Ka’abah)
Tempat lahir: Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah
Nama bapa: ‘Abdullah bin ‘Abdul Muttalib bin Hashim
Nama ibu: Aminah binti Wahab bin ‘Abdul Manaf
Pengasuh pertama: Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman. Hamba perempuan bapa Rasulullah SAW)
Ibu susu pertama: Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab)
Ibu susu kedua: Halimah binti Abu Zuaib As-Sa’diah (lebih dikenali Halimah As-Sa’diah. Suaminya bernama Abu Kabsya)

USIA 5 TAHUN ;Peristiwa pembelahan dada Rasulullah SAW yang dilakukan oleh dua malaikat untuk mengeluarkan bahagian syaitan yang wujud di

USIA 6 TAHUN ;Ibunya Aminah binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di Al-Abwa’ (sebuah kampung yang terletak di antara Mekah dan Madinah).
Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah SAW) dan dibiayai oleh datuknya ‘Abdul Muttalib.

USIA 8 TAHUN ;Datuknya, ‘Abdul Muttalib pula meninggal dunia. Baginda dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib.

USIA 9 TAHUN (Setengah riwayat mengatakan pada usia 12 tahun) ; Bersama bapa saudaranya, Abu Talib bermusafir ke Syam atas urusan perniagaan. Di kota Busra, negeri Syam, seorang pendita Nasrani bernama Bahira (Buhaira) telah bertemu ketua-ketua rombongan untuk menceritakan tentang pengutusan seorang nabi di kalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa itu

USIA 20 TAHUN ;Terlibat dalam peperangan Fijar. Ibnu Hisyam di dalam kitab ‘Sirah’, jilid1, halaman 184-187 menyatakan pada ketika itu usia Muhammad SAW ialah 14 atau 15 tahun. Baginda menyertai peperangan itu beberapa hari dan berperanan mengumpulkan anak-anak panah sahaja. Menyaksikan ‘perjanjian Al-Fudhul’; perjanjian damai untuk memberi pertolongan kepada orang yang dizalimi di Mekah

USIA 25 TAHUN ;Bermusafir kali kedua ke Syam atas urusan perniagaan barangan Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah. Perjalanan ke Syam ditemani oleh Maisarah; lelaki suruhan Khadijah. Baginda SAW bersama-sama Abu Talib dan beberapa orang bapa saudaranya yang lain pergi berjumpa Amru bin Asad (bapa saudara Khadijah) untuk meminang Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu. Mas kahwin baginda kepada Khadijah adalah sebanyak 500 dirham

USIA 35 TAHUN ;Banjir besar melanda Mekah dan meruntuhkan dinding Ka’abah. Pembinaan semula Ka’abah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk Mekah. Rasulullah SAW diberi kemuliaan untuk meletakkan ‘Hajarul-Aswad’ ke tempat asal dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung perletakan batu tersebut.

USIA 40 TAHUN ;Menerima wahyu di gua Hira’ sebagai perlantikan menjadi Nabi dan Rasul akhir zaman

USIA 53 TAHUN ;Berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah dengan ditemani oleh Saidina Abu Bakar Al-Siddiq. Sampai ke Madinah pada tanggal 12 Rabiulawal/ 24 September 622M

USIA 63 TAHUN ;Kewafatan Rasulullah SAW di Madinah Al-Munawwarah pada hari Isnin, 12 Rabiulawal tahun 11H/ 8 Jun 632M

ISTERI-ISTERI RASULULLAH SAW

Khadijah Binti Khuwailid
Saudah Binti Zam’ah
 ‘Aisyah Binti Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar)
Hafsah binti ‘Umar (anak Saidina ‘Umar bin Al-Khattab
Ummi Habibah Binti Abu Sufyan
Hindun Binti Umaiyah (digelar Ummi Salamah)
Zainab Binti Jahsy
Maimunah Binti Harith
Safiyah Binti Huyai bin Akhtab
Zainab Binti Khuzaimah (digelar ‘Ummu Al-Masakin’; Ibu Orang Miskin)

ANAK-ANAK RASULULLAH SAW
1. Qasim
2. Abdullah
3. Ibrahim
4. Zainab
5. Ruqaiyah
6. Ummi Kalthum
7. Fatimah Al-Zahra’

ANAK TIRI RASULULLAH SAW
Halah bin Hind bin Habbasy bin Zurarah al-Tamimi (anak kepada Saidatina Khadijah bersama Hind bin Habbasy. Ketika berkahwin dengan Rasulullah, Khadijah adalah seorang janda) 

SAUDARA SESUSU RASULULLAH SAW
IBU SUSUAN: Thuwaibah 
SAUDARA SUSUAN:
1. Hamzah
2. Abu Salamah Abdullah bin Abdul Asad

IBU SUSUAN: Halimah Al-Saidiyyah 
SAUDARA SUSUAN:
1. Abu Sufyan bin Harith bin Abdul Mutallib
2. Abdullah bin Harith bin Abdul ' Uzza
3. Syaima ' binti Harith bin Abdul ' Uzza
4. ' Aisyah binti Harith bin abdul ' Uzza<span> </span>


BAPA DAN IBU SAUDARA RASULULLAH SAW (ANAK-ANAK KEPADA ABDUL MUTTALIB)
1. Al-Harith
2. Muqawwam
3. Zubair4. Hamzah
5. Al-‘Abbas
6. Abu Talib
7. Abu Lahab (nama asalnya ‘Abdul ‘Uzza)
8. Abdul Ka’bah
9. Hijl
10. Dhirar
11. Umaimah
12. Al-Bidha (Ummu Hakim)
13. ‘Atiqah
14. Arwa
15. Umaimah
16. Barrah
17. Safiyah (ibu kepada Zubair Al-‘Awwam)
Sempat masuk Islam* Ulama’ berselisih pendapat tentang Islamnya
Sabda Rasulullah SAW
"Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka sesungguhnya dia telah mencintai aku. Dan sesiapa yang mencintai aku nescaya dia bersama-samaku di dalam syurga.” (Riwayat Al-Sajary daripada Anas