Saturday, December 10, 2011

~ Harga Sebuah Kehilangan ~


~ Harga Sebuah Kehilangan ~


Kehilangan adalah salah satu jalan kehidupan. Kita takkan merasa kehidupan tanpa merasa kehilangan. Ini adalah kata-kata dari seorang sahabat baik kepada saya di universiti suatu ketika dulu. Pada masa itu, saya tidak dapat menerima kebenaran kata-kata itu. Saya tidak dapat menerima hakikat yang kita manusia tidak dapat lari dari kehilangan dalam hidup. Ya, saya insan lemah dan naif. Kehilangan adalah sesuatu yang asing bagi diri saya. Saya tidak mampu untuk menanggung sakitnya kehilangan ketika itu. Saya belum cukup matang untuk mengharungi dugaan hidup....

 
************

Tapi, itu dulu. Itu sebelum saya mempelajari makna sebenar kehidupan. Itu sebelum saya merasa pahit manis kehidupan. Saya belum cukup ilmu dan pengalaman untuk menjadi lebih matang. Kini, saya tidak lagi lemah. Saya tidak lagi naif. Saya mengerti akan pentingnya kehilangan dalam kehidupan. Saya mengerti akan kepentingan rasa kehilangan dalam mematangkan akal fikiran. Saya mengerti akan pentingnya pengalaman kehilangan  dalam mengharungi cabaran hidup yang pelbagai. Ya, kita perlu merasa kehilangan untuk merasa kebahagiaan. Tanpa kehilangan, kita tidak akan merasa kebahagiaan yang sebenar. Tanpa kehilangan, kita tidak akan merasa nikmat hidup yang sempurna...

************
Baru-baru ini, saya telah merasa dua kehilangan. Tapi kehilangan yang kedua membuatkan saya benar-benar terpaku. Kelu. Perginya dia dari hidup saya, selama-lamanya. Ini bermakna, saya telah kehilangan satu-satunya lelaki yang sanggup berkorban nyawa dan segala-galanya untuk saya. Sampai mati pun, saya tidak akan dapat mencari lelaki seperti dia. Siapa saya pada hari ini, di mana kedudukan saya pada hari ini - adalah disebabkan dia. Kalau diberi seluruh isi dunia kepadanya, pun masih lagi tidak terbalas dengan apa yang telah diberikannya kepada saya. Saya merasa sungguh bertuah memiliki dia. Sungguh! Saya benar-benar bertuah. Tidak ada satu lelaki pun yang dapat menandingi kedudukan dia di hati saya....Ya, tidak ada...

**************
                      Kubayangkan butir air mata memenuhi pelupuk matamu
saat kau membacakan baris-baris kasih sayang
kepada buah hatimu
Kusapa, ada beberapa butir air mata menggantung di sukmaku
hendak menyeruak ke dunia menemani keharuanmu
Tak ada yang dapat kuucapkan hari ini
seperti hari kelmarin, aku hanya bisa membisu
cuba ku tulis beberapa kata ungkapan kehormatan
kepadamu yang kini duduk menyaksikan ilham Allah
merasuki tulang-tulang tuamu.
Aku merenung menggores bayangan butiran air matamu
yang terdorong keluar oleh kebahagiaan
aku berusaha menutupi jalan untuk air mataku
yang tak sanggup menahan keharuan
menuntut jalan keluar,
mungkin hendak berteman dengan air matamu

Thursday, April 21, 2011

~ A Decision That Changed My Life ~


~ A Decision That Changed My Life ~

Syukran buat sahabat yang mengingati...(^_^)

Esok, bersamaan 22 April 2011, usia saya sudah mencecah ke angka-27. Saya hampir-hampir tidak sedar. Masa begitu cepat berlalu. Semoga saya akan terus menerus bersemangat untuk memiliki kearifan. Kerana sangat banyak orang menjadi tua disebabkan bertambahnya usia, tetapi tidak semakin dewasa.Ya, kita tidak akan dapat menahan laju pertambahan umur kita...kerana UMUR adalah milik Allah. Namun yang harus kita lakukan adalah menahan akhlaq kita, agar jangan sampai turun ke darjat yang lebih rendah. Justeru, kita harus menggantikannya dengan kualiti peribadi yang semakin mulia. Di sini, saya juga mengharap yang sama...  

**********

Sepanjang hidup, banyak perkara yang telah saya lalui. Dari kecil, sampai tiba ke alam persekolahan, hinggalah ke alam universiti seterusnya melangkah ke alam kerjaya. Selama 6 tahun bergelar pelajar jurusan undang-undang, menjadikan saya berfikir panjang sama ada ingin menjadi seorang peguam atau sebaliknya. Ya saya tahu, Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk diri saya. Akhirnya, jadilah saya seperti hari ini, di sini, pada saat ini. Saya tegar memilih untuk menjadi guru biasa, dari menjadi seorang peguam yang popular, seperti kawan-kawan yang lain rasakan pada ketika ini. Entah mengapa kerjaya peguam itu, saya rasakan amatlah tidak sesuai dengan jiwa saya. Saya begitu gembira dengan hidup saya sekarang. Justeru, tidaklah saya menyesal dengan keputusan yang telah dibuat...kerana saya benar yakin, yang saya tidak silap membuat pilihan....insyaAllah..;)

**********


Semua alam sudah saya tempuh. Cuma alam rumah tangga sahaja belum lagi saya rasakan. Entahlah... saya pun tidak tahu bilakah masanya. Apa yang mampu saya lakukan ialah..berdoa, serta cuba menjadi yang terbaik...untuk mendapat yang ter`baik` juga..insyaAllah...(^_^)

 
Ya ALLAH, jadikan aku wanita yang solehah...yang baik di antara yang terbaik...dan kurniakan aku pendamping yang baik...
dalam  mendapatkan sesuatu yang terbaik dariMu...
Amin...

Tuesday, April 5, 2011

~ Memetik Hikmah di balik Payah..~

~ Memetik Hikmah di Balik Payah~


"Berpenat lelahlah kerana sesungguhnya kesenangan itu selepas kepayahan...jangan berdukacita kerana hidup ini meletihkan,sebab demikianlah hidup itu diciptakan," 

~Imam Syafie~

Dedikasi ini khas untuk saya, setiap kali saya merasakan hampir-hampir putus asa. Bilamana mempunyai perasaan seperti itu, saya akan cuba segera mengingatkan diri saya, merintis jalan pulang menuju Dia yang satu. Ya saya mengerti bahawa jalan itu tidak pernah ada pintu yang menutupnya apatah lagi tembok yang menghadang insan menakluknya. Lantaran rahmat kasih sayang pencipta itu tak tergambar luasnya,  melebihi pedih azab siksaNya. Berjalan dan terus berjalan. Jangan diimbau  lagi kisah luka itu. Hanya menjeruk hati, menggores luka, mematikan niat murni sekeping hati yang tulus.Berbahagialah andai ada yang menduga di sepanjang perjalanan itu. Kerana itu sebenar-benar jalan yang dilorongkan Allah buat hambaNya yang ikhlas mencari. Ada hikmah dalam musibah.Telan kepahitan itu, demi manisnya kenikmatan jannah.


**********


" Dan apabila hamba-hambaKu yang bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah)-Ku dan beriman kepadaKu, agar mereka memperoleh kebenaran"

(Al-Baqarah: 186)

Genggam erat-erat ayat cinta itu dalam hati kamu, maka kamu akan tahu Allah ada dalam tiap denyut nadimu. Allah mendengar bila kamu merintih, Allah yang membangunkan bila kamu tersungkur jatuh. Hari-hari yang kita lalui tak menjanjikan warna pelangi indah dan ceria. Adakalanya suram.Hanya senyum pudar yang mampu terukir pada bibir. Namun, percayalah...Pada duri yang ada di kiri dan kanan jalanan, pasti ada hikmah yang ingin Allah titipkan.Tidak sia-sia aturanNya walau sesekali jiwa terasa berat untuk menerima apatah lagi akur pada takdir itu.....


***********


Ketika orang lain bergantung pada dunia, gantunglah dirimu hanya pada Allah.
Ketika orang lain merasa gembira dengan dunia, jadilah dirimu gembira kerana Allah.
Ketika orang lain merasa bahagia kerana kekasih mereka, jadilah dirimu merasa bahagia dengan Allah,


“Truly in the heart there is a sadness that cannot be removed except with the happiness of knowing Allah SWT and being true to Him and in it there is an emptiness that can not be filled except with love for Him and by turning to Him and always remembering Him. And if a person were given all of the world and what is in it, it would not fill this emptiness.”
 
- Ibn Al-Qayyim

Saturday, March 19, 2011

~ Segenggam Tabah ~

~ Segenggam Tabah..~



Telah tertulis suratan nasibmu. Derita buatmu ada hikmahnya. Terlukis senyum di bibir lesu. Tak siapa tahu hatimu. Biarpun keruh air di hulu. Mungkinkah jernih di muara. Biarpun jenuh hidup dipalu. Pasti bertemu tenangnya....
~segenggam tabah~

Saturday, March 5, 2011

~ Kala Hujan Turun Lebat ~

~ Kala Hujan Turun Lebat ~


Hari ini, hujan menemani saya pulang. Kami berjalan beriringan, berbagi cerita dalam diam, bertukar tanya dalam heningnya resah hati. Saya merasakan payung kecil saya bergerak ditiup angin bercampur gerimis. Ketika ini, saya tidak mahu menduakan sang hujan. Hujan terus-terusan menggelitik lengan saya dengan basahnya, seolah menggoda dengan gurauan, berusaha menutup pilu yang semakin membasahi hati.Saya bertanya kepada hujan ," Oh hujan, perlukah kita mempercayai orang yang kita sayang? " Hujan ketawa terkekeh-kekeh. Seakan saya membuat jenaka. Lalu hujan menjawab : " Lebih dari itu....." Kaki saya terhenti mendengar jawapan hujan sebentar tadi. Tiba-tiba saya kehilangan kata-kata....


**********

Malam ini saya telah membuatkan hati seseorang luka. Ya saya tahu hatinya luka. Mungkin. Entahlah. Saya tahu semuanya salah saya. Semuanya. Maafkan saya. Bukan niat saya untuk melafazkan begitu. Tapi mungkin pengalaman lalu membuatkan saya menjadi begitu pesimis. Tidak begitu yakin. Pengalaman luka itu mungkin menjadikan saya begitu. Saya tidak tahu bagaimana untuk menerangkan kepadanya. Tentang apa yang pernah saya rasa. Mungkin tidak perlu. Mungkin juga. Tiba-tiba saja mata saya terasa hangat....pedih sampai ke hati.....

**********
 
Saya sering diuji dengan apa yang saya ucapkan. Mungkin Allah ingin mendidik saya agar selalu berhati-hati dalam menuturkan kata. Biarlah. Moga-moga saya akan lebih terdidik dengan ujian yang menimpa. Cuma saya terus berharap dan berdoa...supaya saya tidak akan mengalah walaupun seringkali kalah!  Adakalanya saya kelelahan dengan ujian yang bertali arus. Biarlah saya menuai iktibar...dalam percubaan untuk menjadi insan yang seadanya sahaja dalam menghulur tangan setulus mungkin. Semoga saya diberikan keteguhan hati. Datanglah apa sahaja...akan saya hadapi sebagai hambaNya....Ketidakpastian kadang-kadang mengajar saya tentang kejituan hati. Lalu saya berusaha mencari hati itu, kerana saya yakin, hati yang remuk redam kerana diuji Allah itu boleh saya temui di mana-mana sahaja.




"Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Luh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.." (Surah Al-Hadid: 22-23)

Tuesday, February 22, 2011

~ Pada Sebuah Nama ~

~ Pada Sebuah Nama ~



Ku lihat  liangan air dari atas yang menitis. Semakin dingin kurasakan dan semakin membekukan ucapku. Semua yang kurasakan terasa terkukung dalam bisu. Kupejamkan mataku dan fikiranku mulai berlari-lari melewati waktu. Mengaduk-ngaduk perasaanku. Kebencian, amarah, kepedihan, membaur dan menelan semua diriku yang bijak. Diriku yang selalu mampu berdiri meski di atas batangan duri kesedihan. 

Kumenemukannya lagi, diriku yang selama ini kusembunyikan dalam ketegaran dan ketidak pedulian. Diriku yang tertutup kerana lemah dan tidak berdaya. Rasanya ingin kutelan semua kebodohan yang ada di bumi. Ingin sekali kumenjelma menjadi manusia kejam yang memusnahkan kebahagiaan di muka bumi dan tertawa sekencang mungkin kerana puas melakukannya. Hentakan bunyi yang terdengar tak akan membuatku diam. Menulikan telinga dengan beragam suara. Jangan salahkan aku yang terlahir di bumi ini..Jangan dekati aku, atau kamu akan terluka. Hatiku berteriak…

  **********

Namun saat kubuka mataku, kulihat sebuah nama yang ternyata menyurutkan semua keresahanku, membawaku menepi dari pengaruh hitam yang kutebarkan sendiri. Menggenggam hatiku dan mendinginkannya. Menyurutkan kemarahanku dan membawaku terbang kehamparan ladang hijau yang dipenuhi beraneka ragam bunga. Memang hatiku tidak sepenuhnya dingin, tapi cahaya itu semakin besar…. Sehinggakan mengalahkan keangkuhan dan gelapnya fikiranku.... 

Aku mulai diam dan berfikir. Kemudian aku yakini. Ya, aku yakin itu. Kerana nama itulah yang memberiku kehidupan. Memberiku ruang untuk bermimpi dan berjalan dalam waktu yang aku sendiri tidak tahu bilakah akan berakhir. Aku yakin segala kesedihan, kegundahan, dan amarah itu adalah refleksi sebuah rindu  dariku padaNya. Kerana aku telalu kerdil dalam dunia yang terlampau besar. Diriku yang terlalu khilaf pada segala  yang nyata dan sempurna. Bahawa waktu yang telah kulewati itu sempurna, meskipun banyak hal yang aku sesali kerana kelalaianku. Bahawa kisah hidupku itu teramat sempurna, kerana telah diatur sedemikian rupa tanpa cela.

 **********

Memang aku terlalu angkuh untuk mengerti dan menerima. Padahal aku faham dan seharusnya menerima. Mungkin inilah kesempurnaan yang Dia cuba jelaskan padaku. Bahawa ketidaksempurnaan yang aku fikirkan sebenarnya melengkapi diriku. Bahawa ketidaksempurnaan yang aku fahami sebenarnya adalah kesempurnaan sebuah penciptaan. Sehingga aku sedar bahawa aku terlalu kecil untuk mengaku sebagai penguasa, bahkan untuk menguasai diriku, menguasai nasibku dan menciptakan segala yang kuinginkan.
Terlalu banyak nikmat yang tidak terhitung, menyakiti kearifan yang Dia ciptakan pada sebahagian diriku yang lain. Sehingga banyak rasa syukur yang terkikis dan terlupakan.

Saturday, February 19, 2011

~ Bunga dalam Genggaman ~

~ Bunga dalam Genggaman ~



Cahaya kilauan menerobos celah kosong di tepi-tepi kerumunan awan putih. Di bawahnya, warna-warni alam bersatu dalam sebuah kelompok. Tertata rapi. Ya... semuanya telah diciptakan Tuhan, namun dikembangkan secara spesifik oleh kita. Saya sampai pada sebuah padang. Nyaman. Bertaburan dengan indahnya kembang-kembang ciptaan-Nya...Ya. Sebuah padang bunga. Hidup berbagai jenis bunga yang berkembang yang indah. Udara pagi pada hari ini masih segar dan belum tercemar. Temui udara seperti ini dalam padang bunga ini.....yang telah langka dalam sebuah kota. Hiruplah dalam-dalam, sejuk dan segar suasana di padang ini..Hatimu tenang, bukan?

**********

Saya mencabut serangkai bunga putih itu dengan perlahan, takut bila sampai-sampai bunga ini layu. Setibanya di rumah, saya terus bertanya kepada sahabat saya. Saya keluarkan bunga yang menjadi tanda tanya di fikiran saya..

  -    " Ini. Ini bunga apa ? Warna putihnya amat menarik perhatianku."
 +     " Hm...."Putih ini...kalau tidak salah, ini bunga Edelweiss. Kau mendapatkannya dari mana?"
   -   " Oh! Tadi ku ambil di taman di sebuah bukit dekat-dekat sini. "
  +   " Kau tahu bunga ini seperti apa?"
    -  " Tidak tahu. Makanya aku bertanya.
   +   " Kau tahu? Bunga Edelweiss termasuk bunga yang langka. Hanya hidup di pergunungan tinggi saja.    
          Beruntung kau boleh mendapatkannya," sahabat saya memperhatikan lagi bunga di genggaman  saya itu. " Bunga ini sangat unik. Bunga yang sama sekali tidak boleh menyentuh air."
  -   " Eh? Kenapa tak boleh? Bila suatu bunga ingin subur, maka harus diberi air!"
    +    " Namun bunga ini lain. Bila diberi air, maka bunga ini akan layu dan rosak."Kau tahu? Bunga ini akan 
           tetap abadi selama tak menyentuh air.
  -    " Abadi? Sampai bila pun?
+      " Ya. Akan tetap abadi. Maka, kau tahu erti bunga ini?" sahabat saya tiba-tiba bertanya.



Saya hanya mampu menggeleng. "Kau beruntung boleh menemukannya," sahabat saya mengulangi sekali lagi. Seakan saya dapat menangkap maksudnya....Beruntungkah saya bila menemui sesuatu yang jarang ditemui oleh orang lain? Bila sesuatu itu telah berada dalam genggaman..adakah ianya akan terus kekal kemas berada dalam genggaman saya juga sampai bila-bila? Saya pernah melalui pengalaman pedih itu .Ya. Pernah. Bunga itu amat kemas berada dalam genggaman saya. Saya ingat ianya akan terus kekal begitu sampai bila-bila..Namun ternyata saya diuji. Bila sesuatu itu telah berada dalam genggaman, pernahkah kita terfikir satu masa nanti, ianya akan hilang dan kita akan tenggelam dalam kesedihan?


**********

Tiada duka yang abadi di dunia
Tiada sepi merantaimu selamanya
Malam kan berakhir, hari kan berganti
Takdir hidup kan dijalani
Tangis dan tawa nyanyian yang mengiring
Hati yang rindukan cinta dijalan-Mu
Namun ku percaya hati meyakini
Semua akan indah pada akhirnya....

                             
                              ~ Opick ~



Friday, January 28, 2011

~ Yang Maha Cinta ~

~ Yang Maha CINTA ~


" If you have a husband who is your best friend, who works hard for you, who has been with you through thick and thin, who loves you unconditionally even when you're at your worst, and whom you are PROUD to be married to, please copy and paste this on your wall..." 

Kata-kata di atas saya dapati pada wall sahabat saya di facebook. Saya copy kata-kata ini. Tetapi tidaklah saya paste di wall saya. Kerana saya masih tidak mempunyai suami. Kerana saya juga belum merasakan bagaimana bahagianya mempunyai suami sebagaimana yang sahabat saya rasakan sekarang. Saya yakin, dalam diri setiap wanita, pasti menginginkan suami yang soleh, beriman, penuh kasih sayang, sentiasa bersama susah dan senang, seseorang yang boleh menjadi sahabat terbaik pada setiap saat...alangkah indahnya memiliki suami yang seperti ini! Namun saya kekal sedar. Saya tidaklah sehebat Fatimah..mendambakan suami sehebat Ali...Kadang-kadang saya tertanya-tanya juga..bilakah saya akan bertemu dengannya? Adakah dia juga seperti saya? Sentiasa tertunggu-tunggu kehadirannya?.....

*********


Semua sibuk mencari. Mudahkah untuk mendapatnya? Semua sibuk mencari. Jika jumpa, mudahkah untuk mengekalkannya? Kita mahu mencari pasangan hidup yang soleh, dan kita menemuinya di dalam suasana semua lelaki nampak sempurna. Semasa bercinta, semuanya akan nampak indah dan sempurna belaka. Namun selepas berkahwin, siapa sangka yang sempurna itu menjadi sebaliknya? Jika bahagia dan sempurnanya rumahtangga ialah pada apa yang suami buat atau apa yang isteri buat, kita akan hidup dan mati dalam pencarian. Pencarian yang tidak berkesudahan. 

Takdir Allah akan tetap berjalan walau apapun, dan redha dituntut atas apa yg Allah kurniakan. Tetapi saya lebih gembira jika kita dapat mempraktikkan dulu piawai yg di saran oleh agama – ikhtiar untuk istiqamah (kekal) memperbaiki diri & ketaatan kpd Allah dan cuba mendampingi (jodoh, teman, sahabat) yang mempunyai matlamat yg sama. 

Yang soleh atau solehah itu juga TIDAK akan pernah sempurna, akan tetapi tanda-tanda orang yang jujur dan taat pada Allah itu ketara. Adakah Allah akan mensia-siakan hamba-Nya yang sentiasa memperbaiki amalan & pilihannya? Kita bukan ingin menjadi masyarakat malaikat, tetapi masyarakat manusia yang hidup di bumi tetapi bertunjangkan petunjuk dari langit. Ini adalah ikhtiar dan usaha kita, apa-apa pun yang dikurniakan atau tidak oleh Allah, akan & pasti berlaku hanya dgn izin Allah jua.Berusaha, berdoa, bertawakkal. Selebihnya adalah urusan Ilahi.

Allah Maha Mengetahui & Maha Mengasihani serta janji-Nya pasti...


**********

" Seseorang yang hatinya mati dan jauh dari hidayah kerana ingkar kepada Allah, tidak mempunyai sebab untuk mencintai orang-orang yang mencintai Allah...."

Serahkan cintamu sepenuhnya kepada yang Maha Cinta....






Wednesday, January 19, 2011

~ Luka Seribu Hari..~

~ Luka Seribu Hari ~


Mengapa bila hati kita luka, kita akan rasa sedih? Bukankah luka itu batiniah sifatnya? Kadangkala, dengan menyerah kepada takdir, dengan melepaskan semuanya membuatkan saya rasa ringan, tetapi segalanya rasa seperti kehilangan erti juga. Melupuskan beban besar yang sebelumnya saya pikul di bahu membuatkan saya rasa seperti kosong. Saya merasakan Dia ingin menempa diri saya, untuk merasa bagaimana sakitnya hati saat kehilangan sesuatu, bagaimana senangnya saya saat merasa saya menemukan penawar, dan bagaimana saya merasakan betapa indahnya harapan setelah derita. Semua itu telah saya rasakan. Hanya ada satu hal yang tertinggal, dan itu terlambat untuk saya sedari. Saya belum merasakan bagaimana rasa pasrah yang seharusnya.

Hmmm, saya telah banyak merasakan kehilangan. Namun ada dua kehilangan yang saya soroti. Saya pernah kehilangan yang pertama. Saat itu, saya merasa dunia saya kelabu. Luka. Itu salah satu masa terkelam yang saya punya, tetapi Alhamdulillah...saya berhasil melewatinya. Saat itu, saya menyedari betapa indah dan pentingnya HARAPAN.

Kehilangan yang kedua. Kali ini berbeza. Saya mendapatkannya dengan tidak sengaja. Saya bahagia mendapatkannya...Saya tidak pernah sebahagia itu..Namun, sampai suatu saat, saya melakukan kesalahan. Keadaan menjadi buruk dan keadaanlah yang memaksa saya untuk kehilangannya. Semuanya berlangsung cepat dan tiba-tiba. Dalam kehilangan yang kedua ini, saya patah hati. Benar-benar patah hati. Namun hati saya patah bukan kerana saya kehilangannya, tetapi kerana saya menangisi diri saya sendiri kerana tidak menyedari sesuatu yang sama sekali tidak saya pelajari di kehilangan saya yang pertama. REDHA. Hanya itu sahaja yang mampu saya lakukan. Di mulut. Sampaikah redha itu di hati?



 **********

“Ku membiarkan hatiku untuk merindui-Mu, Ku menghamparkan sakitku untuk tatapan-Mu, Bersama-Mu harapanku, Hilang dalam terang yang membutakanku, Aku lemah tanpa-Mu, Ku ingin-Mu dampingi ku, Aku fahami aku bukan terbaik untuk diri-Mu, Aku menunggu cinta dari-Mu, Agar ku sempurna, Dan mungkin hari yang satu, Terus ku tertunggu, Hanya satu…”

~Ketahui bahawa hati itu hanya mempunyai satu wajah, apabila kamu hadapkan cahaya kepadanya maka ia akan bersinar, dan apabila kamu hadapkan kegelapan kepadanya maka ia akan terus bergelap lalu tertutup..~


**********

 
"My heart is so small
it’s almost invisible.
How can You place
such big sorrows in it?
“Look,” He answered,
…”Your eyes are even smaller,
yet they behold the world.”
Jalaluddin al-Rumi [from 'Whispers of the Beloved']