Saturday, March 19, 2011

~ Segenggam Tabah ~

~ Segenggam Tabah..~



Telah tertulis suratan nasibmu. Derita buatmu ada hikmahnya. Terlukis senyum di bibir lesu. Tak siapa tahu hatimu. Biarpun keruh air di hulu. Mungkinkah jernih di muara. Biarpun jenuh hidup dipalu. Pasti bertemu tenangnya....
~segenggam tabah~

Saturday, March 5, 2011

~ Kala Hujan Turun Lebat ~

~ Kala Hujan Turun Lebat ~


Hari ini, hujan menemani saya pulang. Kami berjalan beriringan, berbagi cerita dalam diam, bertukar tanya dalam heningnya resah hati. Saya merasakan payung kecil saya bergerak ditiup angin bercampur gerimis. Ketika ini, saya tidak mahu menduakan sang hujan. Hujan terus-terusan menggelitik lengan saya dengan basahnya, seolah menggoda dengan gurauan, berusaha menutup pilu yang semakin membasahi hati.Saya bertanya kepada hujan ," Oh hujan, perlukah kita mempercayai orang yang kita sayang? " Hujan ketawa terkekeh-kekeh. Seakan saya membuat jenaka. Lalu hujan menjawab : " Lebih dari itu....." Kaki saya terhenti mendengar jawapan hujan sebentar tadi. Tiba-tiba saya kehilangan kata-kata....


**********

Malam ini saya telah membuatkan hati seseorang luka. Ya saya tahu hatinya luka. Mungkin. Entahlah. Saya tahu semuanya salah saya. Semuanya. Maafkan saya. Bukan niat saya untuk melafazkan begitu. Tapi mungkin pengalaman lalu membuatkan saya menjadi begitu pesimis. Tidak begitu yakin. Pengalaman luka itu mungkin menjadikan saya begitu. Saya tidak tahu bagaimana untuk menerangkan kepadanya. Tentang apa yang pernah saya rasa. Mungkin tidak perlu. Mungkin juga. Tiba-tiba saja mata saya terasa hangat....pedih sampai ke hati.....

**********
 
Saya sering diuji dengan apa yang saya ucapkan. Mungkin Allah ingin mendidik saya agar selalu berhati-hati dalam menuturkan kata. Biarlah. Moga-moga saya akan lebih terdidik dengan ujian yang menimpa. Cuma saya terus berharap dan berdoa...supaya saya tidak akan mengalah walaupun seringkali kalah!  Adakalanya saya kelelahan dengan ujian yang bertali arus. Biarlah saya menuai iktibar...dalam percubaan untuk menjadi insan yang seadanya sahaja dalam menghulur tangan setulus mungkin. Semoga saya diberikan keteguhan hati. Datanglah apa sahaja...akan saya hadapi sebagai hambaNya....Ketidakpastian kadang-kadang mengajar saya tentang kejituan hati. Lalu saya berusaha mencari hati itu, kerana saya yakin, hati yang remuk redam kerana diuji Allah itu boleh saya temui di mana-mana sahaja.




"Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Luh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.." (Surah Al-Hadid: 22-23)